Pemakaian tudung yang bersesuaian menjadikan si pemakainya kelihatan lebih sopan, kemas, anggun dan bergaya. Oleh itu, untuk isu yang istimewa ini, daradotcom ingin berkongsi tip pemilihan tudung yang mungkin sebelum ini, korang terlepas pandang dan sebagainya. Secara asasnya pemilihan tudung perlulah mengambil kira beberapa faktor penting seperti fabrik, warna, saiz, corak, bentuk muka dan gaya pemakaian. Buat pembaca diluar sana jangan sesekali korang menjadi mangsa fesyen ketika menggayakan tudung atau selendang.

Jom kita lihat 20tip-tip berikut...

Pilihan Tudung

1. Pilih tudung daripada fabrik yang bersesuaian seperti kain kapas, kain kasa (bawal), jojet, dan laycra.

2. Jika memilih corak berbunga besar padankan dengan baju kurung atau kebaya yang berwarna garang dan polos.

3. Jika memakai baju yang bercorak atay berbunga, padankan dengan tudung yang mempunyai warna paling sikit di baju korang. Contoh: Jika warna hijau paling sedikit di baju korang, pilihlah tudung warna hijau.

4. Untuk korang yang berkulit kuning langsat, pemakaian tudung berwarna biru, lavender, dan pink akan menyerlahkan lagi keserian wajah. AWAS! Elakkan tudung berwarna hijau dan kuning supaya tidak kelihatan kusam dan tidak bermaya.

5. Cuba elakkan memakai tudung dan baju mempunyai warna sedondon.

6. Elakkan pemakaian tudung yang berwarna gelap dan kusam untuk mengelakkan korang kelihatan lebih berusia daripada umur korang.

7. Untuk penampilan yang lembut tetapi ceria dan berkeyakinan tinggi, pilihlah tudung polos atau kosong yang berwarna cerah seperti merah jambu, kuning dan biru.

8. Bagi wajah yang berbentuk bulat, pilihlah tudung yang bercorak kecil dan tidak penuh. Ia untuk mengelakkan wajah korang kelihatan penuh dan tidak terurus.

9. Bagi korang yang berkulit putih disyorkan memakai tudung berwarna hijau, ungu dan lavender untuk wajah yang lebih segar. AWAS! Tudung berwarna merah jambu akan membuatkan korang kelihatan pucat.

10. Buat pemilik kulit sawo matang, warna hijau dan kuning membuatkan korang kelihatan lebih cerah dan terang. AWAS! Cuba elakkan memakai tudung berwarna kelabu gelap supaya wajah korang tidak kelihatan kusam.

11. Pastikan tudung korang dikemaskan di bawah kerongsang selepas dipinkan tudungnya. Ia bertujuan mengelakkan lilitan tudung kelihatan seperti menggelembung.


Penjagaan Tudung

12. Pastikan tudung tidak diramas ketika mencuci, cukup sekadar dicelup dan angkat beberapa kali.

13. Cucian kering berfungsi mematikan pigmen warna pada sutera. Walaupun ia tidak luntur sekiranya dibasuh sendiri, sebagai langkah penjagaan. elok sekiranya dilakukan cucian kering.

14. Untuk cucian kali kedua dan seterusnya, gunakan bahan pencuci bersifat lembut.

15. Jangan berus atau sental tudung berkenaan. Memadai jika korang mengepal lembut dan celup dua tiga kali sehingga bersih daripada bahan pencuci.

16. Tudung boleh dijemur di kawasan teduh atau tidak terlalu terik.

17. Tidak perlu digosok dengan suhu yang terlalu panas.

18. Cara melipat tudung juga perlu betul. Jangan sekali-kali melipat bahagian awning kerana jika awning terlipat, ia tidak akan menjadi sempurna apabila dipakai.

19. Sebaik-baiknya, cara menyimpan tudung yang mempunyai awning ialah melipat dari bahagian bawah tudung. Gulung secara longgar dan masukkan ke dalam awning.

20. Cara membasuh tudung yang mempunyai awning juga tidak perlu memulas dengan kasar bagi menjaga bentuk awning agar tidak rosak dan bergumpal.

Itu sahaja yang dapat daradotcom kongsi pandangan bersama korang. Semoga tip-tip seperti ini dapat mengubah pemilihan tudung yang bersesuaian dengan korang. Jom kongsi kepada rakan-rakan kita yang lain